Ramai yang menyangka bahawa apabila telah boleh menyebut huruf al-Quran, boleh menyebut kalimah al-Quran dengan lancar, maka itu sudah dikira boleh membaca al-Quran. Jika itulah maksud 'pandai baca Quran', maka apa bezanya kita membaca al-Quran dengan kita membaca teks Arab? Dan apa bezanya orang Arab yang membaca al-Quran dengan orang Arab yang bercakap bahasa Arab?
Yang membezakannya adalah TAJWID. Yang dikatakan membaca al-Quran dan dikira ibadah serta layak mendapat pahala adalah apabila membaca al-Quran dengan mendirikan haknya iaitu dengan bertajwid. Dengan sebab itu, mempelajari tajwid adalah wajib bagi yang membaca al-Quran.
Bagaimana yang dikatakan sebuah bacaan itu mengikut standard tajwid? Kayu ukurnya adalah sehingga dapat memberikan hak-hak huruf (sifat-sifatnya) dan yang berhak ke atas huruf tersebut.
Untuk memastikan pembaca dapat menunaikan hak-hak huruf tersebut, di sinilah perlunya guru yang perlu menyemak dan membetulkan bacaan pelajar secara berhadapan.
Justeru. Lancar Ngaji diadakan adalah untuk memenuhi keperluan ini yang bukan sahaja secara praktikal, bahkan secara teori juga bagi memberi pendedahan kepada masyarakat akan kaedah sebenar penyebutan makhraj huruf yang sering berlaku kesalahan dan diambil ringan.
Lancar Ngaji adalah sebuah tutor kelas al-Quran yang diadakan untuk membantu masyarakat sama ada kalangan kanak-kanak atau dewasa untuk memulakan membaca al-Quran. Keprihatinan masyarakat hari ini terhadap al-Quran menjadi suatu perkembangan yang baik sehingga permintaan untuk mengikuti kelas al-Quran bertambah.
Justeru, Lancar Ngaji merangka sistem pembelajaran al-Quran yang menekankan aspek teori dan praktikal sebagai pelengkap disiplin Ilmu Tajwid. Untuk memenuhi keperluan ini, Lancar Ngaji telah menyediakan guru-guru yang terlatih dan berpengalaman dalam membimbing pelajar sama ada pengajian secara dalam talian atau bersemuka.
"Dah baca Quran tapi masih tersekat-sekat. Nak sebut satu ayat pun susah..tergeliat lidah. Kenapa ya?"
Ramai yang menyangka sudah pandai membaca Quran bila dah melepasi Muqaddam dan Iqra'. Tapi hairannya, bila baca Quran, masih tersekat-sekat, tersengguk-sengguk. Di mana puncanya?
Antara punca utama yang dikenalpasti ialah :
➡️ Tidak mahir membezakan huruf-huruf yang bentuk dan makhrajnya sama sehingga sering tersalah sebut.
➡️ Baris dan tanda huruf tidak diambil berat akibatnya ketika membaca 'langgar saja'.
➡️ Panjang pendek bacaaan diabaikan hingga bunyi dan sebutan jadi canggung dan 'sakit telinga' didengar.
Tahukah anda bahawa kesalahan-kesalahan di atas merupakan kesalahan berat dalam bacaan al-Quran? Kerana jenis kesalahan ini boleh membawa kepada mengubah kalimah yang akibatnya mengubah maksud ayat Quran.
Justeru, Tahap 1 ini adalah penting bagi membetulkan kesalahan utama ini.
"Saya dah khatam Quran tapi bacaan masih tak elok. Kenapa jadi macam tu?"
Apa sahaja bidang ilmu, apabila kita tidak memahami asas dan disiplinnya, maka kita akan mengalami kesukaran dalam praktikal. Apabila mengetahui asasnya, maka kita akan dapat menguasai teknik yang betul semasa praktikal.
Mempelajari disiplin Ilmu Tajwid adalah fardhu kifayah dan membaca al-Quran dengan bertajwid adalah fardhu ain. Justeru, mempelajari Ilmu Tajwid menjadi wajib dikeranakan membaca al-Quran itu wajib dengan bertajwid.
Tetapi, ramai yang terlalu menekankan hukum tajwid secara teori tetapi apabila membaca al-Quran, hukum tajwid tersebut diabaikan. Ini adalah sesuatu yang sangat ralat dan tidak mencapai tujuan utama mempelajari tajwid itu sendiri.
Penyelesaian bagi masalah di atas adalah dengan mengikut sistem 𝙩𝙖𝙡𝙖𝙦𝙦𝙞 (bertemu guru) secara bertentang dan 𝙢𝙪𝙨𝙮𝙖𝙛𝙖𝙝𝙖𝙝 (mulut ke mulut) iaitu murid memerhati gerak bibir guru dan murid mengulang semula sambil diperhatikan guru. Sehingga apabila murid telah dapat iltizam dengan hukum tajwid dalam bacaan dan guru telah mengesahkan bacaannya, maka saat itu dia sudah boleh membaca al-Quran tanpa pantauan guru.
"Mengambil (mengamalkan) tajwid adalah kewajipan pasti. Sesiapa yang tidak bertajwid dalam membaca al-Quram adalah berdosa. Kerana sesungguhnya dengan tajwid Tuhan menurunkan (al-Quran). Demikian juga dariNya sampai kepada kita." (Petikan bayt syair Matan Jazariyah)
Dalam pembelajaran Tahap Tiga ini akan menerangkan makhraj dan sifat huruf berserta hukum-hukum mad secara terperinci. Mengapa penting mempelajari Ilmu Tajwid secara teori dan praktikal?
1️⃣ Supaya dapat mengetahui di mana kedudukan huruf (makhraj) sama ada letaknya di rongga mulut, kerongkong, lidah, halqum atau bibir. Dengan pengetahuan ini, akan dapat membezakan huruf sehingga dapat menyebut huruf dengan betul.
2️⃣ Supaya dapat membezakan bunyi huruf (sifat) sama ada ia berbunyi tebal atau nipis, berbunyi berdesir atau tidak berdesir, tinggi atau rendah, terbuka atau tertutup dan sebagainya.
3️⃣ Supaya dapat mengetahui sebab dan punca suatu kalimah itu dipanjangkan atau dipendekkan (hukum mad). Dengan ini akan membawa sensasi 'rasa' pada ayat-ayat Allah yang bersifat targhib (janji baik dan ganjaran) dan tarhib (peringatan dan ancaman).
Jika ketiga-tiga teori ini dapat dikuasai kemudian dipraktik dalam bacaan, maka di sinilah baru akan mencapai sebagaimana perintah Allah SWT iaitu 𝙢𝙚𝙢𝙗𝙖𝙘𝙖 𝙖𝙡-𝙌𝙪𝙧𝙖𝙣 𝙙𝙚𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙩𝙖𝙧𝙩𝙞𝙡.